Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto: TVS.

Premis kerajaan dicadang guna beras import bersubsidi

ByBernama

BENTONG, 29 Sept: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan membawa cadangan supaya premis kerajaan seperti hospital, pusat latihan polis, kem tentera dan asrama sekolah, untuk menggunakan beras import bersubsidi bagi membolehkan lebih banyak beras tempatan berada di dalam pasaran.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada Isnin depan.

Beliau berkata langkah itu dijangka dapat mengembalikan sejumlah besar beras tempatan ke pasaran, kerana penggunaan premis berkenaan terhadap beras tempatan buat masa ini, adalah tinggi.

“Kita gunakan beras lokal ini untuk orang awam, maka (premis) kerajaan beli beras import dengan harga (bersubsidi) yang tidak tinggi, mungkin dalam RM32 hingga RM35 sekampit,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Perpaduan di Simpang Pelangai di sini malam ini.

Sementara itu, Mohamad berkata India dijangka akan memberi jawapan, sama ada negara itu akan membenarkan beras putih terus dieksport ke Malaysia, pada minggu depan.

Terdahulu, Mohamad berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari India, bagi menyatakan hasrat Malaysia agar negara itu terus mengeksport beras putih ke negara ini.

Mengenai dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan berpunca daripada tindakan pembekal menyorokkan stok, beliau menafikan perkara berkenaan dan menjamin tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau meminta orang ramai untuk tidak mengambil tindakan melulu dan menyerbu mana-mana premis yang disyaki menyorok bekalan beras tempatan.

“Jangan kita ambil undang-undang ditangan kita sendiri. Kalau ada kita dengar (berlaku penyorokkan bekalan) kita lapor, insya-Allah pegawai-pegawai penguat kuasa akan bertindak. Lapor kepada kementerian yang berkaitan atau buat laporan kepada pihak polis,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan