MIRI, 29 Sept: Seorang lelaki tempatan berputih mata rugi RM6,500 dipercayai ditipu sindiket jual beli kereta tidak wujud dalam talian pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang juga bekerja sebagai pemandu syarikat swasta itu telah berurusan dengan suspek yang menawarkan menawarkan penjualan kereta tempatan jenis sedan dengan harga yang menarik dan murah.
“Kes penipuan e-Dagang; ini dilaporkan oleh pengadu pada 27 September selepas mangsa tertarik dengan satu iklan penjualan kereta melalui media sosial Facebook.
“Pengadu kemudian menghubungi suspek dengan nombor telefon yang tertera pada iklan dan seterusnya diarahkan untuk berhubung dengan penjual,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya setelah berbincang dan berurusan berkenaan pembelian kereta tersebut, pengadu telah menyerahkan beberapa dokumen peribadi yang diminta oleh suspek.
“Mangsa juga telah membuat lima kali transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank secara atas talian berjumlah sekitar RM6,500 ke akaun pihak ketiga sejak pada 26 Ogos sehingga 20 September ini.
“Mangsa hanya menyedari dirinya telah diperdaya selepas barang yang sepatutnya dihantar ke Miri tidak tiba dan telefon penjual tidak dapat dihubungi lagi,” katanya.
Kes tersebut siasatan memgikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam melakukan transaksi atas talian dengan individu yang tidak dikenali yang menawarkan barangan dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.
“Sentiasa berwaspada dalam melakukan pembelian melalui platform jualan yang sah bagi memastikan hak anda sebagai pembeli dilindungi.
“Jangan membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan nama dengan penjual,” tegasnya. -TVS