LAWAS, 29 Sept: Malaysia dan negara jiran perlu mengenal pasti mekanisma terbaik menangani masalah jerebu rentas sempadan yang melanda negara pada masa ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau mencadangkan agar perbincangan lanjut antara negara terlibat perlu bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka.
“Aktiviti pembakaran ini juga berlaku rentas sempadan jadi perkara ini harus dibincang oleh kedua-dua pihak, Kerajaan Persekutuan berbincang supaya kita dapat mencari jalan untuk mengelak perkara ini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Bomba Komuniti, Fire Point dan Kempen Kesedaran Keselamatan Awam Kuala Lawas Tahun 2023, hari ini.
Turut sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Penguasa Bomba, Ramlan Marajan dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menjelaskan orang ramai juga perlu mengelak aktiviti pembakaran secara terbuka.
Tegasnya, pembakaran secara terbuka yang dilakukan di negara ini juga menyumbang kepada aktiviti jerebu selain pembakaran terbuka yang berlaku di negara jiran.
“Berdepan dengan cuaca yang tidak menentu jadi kita harus berhati-hati dan mengelakkan pembakaran secara terbuka kerana kesannya begitu.
“Jika kita tidak kawal walaupun agensi keselamatan lain termasuk bomba bersiap siaga, kita mestilah mempunyai rasa tanggungjawab juga,” ujarnya lagi. – TVS