MIRI, 29 Sept: Karnival Taste of Borneo 2023 pada 20 hingga 29 Oktober depan di di Stadium Tertutup Miri bakal menjanjikan pelbagai inti pati kreatif menarik selain menyajikan hidangan tradisional masyarakat di negeri ini.
Menurut kenyataan Persatuan Cina Sarawak, selaku penganjurnya program itu bakal menjadi platform untuk aktiviti pertukaran budaya dan mengeratkan silaturahim di kalangan masyarakat yang berbeza.
Kenyataan juga mendedahkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka menyempurnakan majlis perasmian karnival berkenaan pada 24 Oktober.
Menjanjikan kelainan, setiap persatuan juga akan menganjurkan pelbagai acara seperti Pertandingan Menyanyi Bintang Borneo oleh Persatuan Cina Sarawak, Malam Bollywood oleh Persatuan India Miri dan Persatuan Punjabi Miri, Malam Seni Budaya bersama Persatuan Melanau Miri dan Persatuan Jatti Miriek Miri, dan lain-lain.
Lebih 100 gerai makanan dan minuman akan disediakan di kawasan parkir terbuka terbahagi kepada dua untuk usahawan muda mempromosi dan menjual makanan, minuman dan produk kreatif mereka, dan bahagian lain untuk rakan kongsi untuk mempromosikan kraf, makanan dan minuman budaya mereka.
Gerai di sini akan beroperasi bermula jam 4 petang hingga 10 malam iaitu pada Isnin hingga Khamis, 4 petang hingga 11 malam untuk Jumaat dan 9 pagi hingga 11 malam pada Sabtu dan Ahad. – TVS