BINTULU, 28 Sept: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2023 menerima sambutan hangat pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari berkata, acara ini memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan Bintulu.
“Tahun ini merupakan BIKF edisi ke-16 dan berdasarkan maklumat, kemudahan penginapan di sini penuh manakala sektor pengangkutan juga sibuk.
“Akibat kemasukan pengunjung yang ramai, delegasi dari Brunei terpaksa menginap di Miri sebelum kembali ke Bintulu untuk festival ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir festival berkenaan di sini hari ini.
BIKF pada tahun ini menyaksikan peserta dari 41 negara mengambil bahagian.
Sementara itu, Muhamad Yakup berkata, festival berjalan lancar walaupun berdepan angin monsun.
“Layang – layang dapat diterbangkan oleh peserta dan pengunjung bermula 11 pagi hingga 4 petang di Lapangan Terbang Lama Bintulu,” katanya.
Selain pertunjukan layang-layang, BIKF juga diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan dan persembahan pentas hiburan bermula 8 pagi hingga 11 malam. – TVS