KUCHING, 28 Sept: Kehadiran Pendakwah Nusantara, Profesor Dr Ustaz Abdul Somad di Bandaraya ini pada 30 September hingga 2 Oktober ini bakal mencetuskan fenomena sambutan daripada ribuan umat Islam di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Kembara Cinta Rasul merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata penceramah terkemuka itu diterbangkan khas dalam Program Kembara Cinta Rasul bersama Ustaz Abdul Somad bersempena Maulidur Rasul tahun ini.
“Program ini adalah program yang ditunggu-tunggu oleh semua masyarakat Islam di seluruh Sarawak termasuk masyarakat dari negara Indonesia Kalimantan yang djangka turut hadir,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Kuching, semalam.
Tambahnya, pelbagai pengisian program menarik dan majlis ilmu bakal disediakan sepanjang tiga hari kepada orang ramai oleh pendakwah yang berasal dari Sumatera Utara itu.
“Pada 30 September sebelah pagi akan berlangsung Program Khas Muslimah di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching. Program yang melibatkan muslimah ini, kita menjemput anggaran seramai 2,000 orang. Pada sebelah pukul 6 petang sehingga 11 malam, akan berlangsung Maulid Akbar di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Kuching.
“Selain itu, pada 1 Oktober, Kuliah Subuh akan diadakan di Masjid Al Abyad, Matang Jaya Kuching dan Tabligh Akhbar pada pukul 6 petang sehingga 11 malam di padang kawad Kem Tentera Jalan Muara Tuang. Akhir sekali, pada 2 Oktober, Kuliah Subuh akan diadakan di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Kuching. Maulid Akbar di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Kuching dan Tabligh Akhbar di di padang kawad Kem Tentera Jalan Muara Tuang adalah program terbuka kepada semua masyarakat di sekitarnya,” katanya lagi.
Untuk rekod, majlis nanti bakal dihadiri Timbalan Perdana Menteri selaku Penasihat Program Kembara Cinta Rasul, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Orang ramai juga boleh menonton siaran langsung di Facebook ‘Fadillah Yusof’ serta di Facebook ‘Ustaz Abdul Somad Official’. – TVS