KUCHING, 28 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah simbol kepada keharmonian rakyat negeri ini.
Menurut Abang Johari, semangat Tuan Yang Terutama (TYT) menjadi pemangkin dalam kalangan masyarakat untuk mengembleng tenaga membangunkan Sarawak serta agama Islam.
“Tun Taib memberikan dorongan kepada kami untuk terus berusaha membangunkan negeri Sarawak dan umat Islam ke arah yang lebih baik di masa masa akan datang.
“Tun juga adalah sebagai simbol keharmonian masyarakat Sarawak yang berbilang agama dan latar belakang untuk memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini hari ini.
Majlis turut menyaksikan TYT serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menyempurnakan Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H peringkat Negeri Sarawak di sini.
Hari ini merupakan kemunculan serta majlis pertama beliau selepas pulang daripada mendapatkan rawatan di Istanbul, Turkiye. -TVS