MIRI, 28 Sept: Sambutan Maulidur Rasul sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Peringkat Bahagian Miri berlangsung dua hari di Miri bermula semalam, 27 dan hari ini 28 September 2023.
Sambutan tahun ini bertemakan ‘Sarawak Makmur Ummah Sejahtera’ dijalankan secara serentak dengan seluruh Bahagian dalam Sarawak.
Majlis Kesyukuran diadakan pada 27 September bermula pada 5.30 petang sehingga 8.30 malam bertempat di Masjid At-Taqwa Miri.
Pengisian lain adalah sesi solat Maghrib secara berjemaah, bacaan Yassin, Ceramah Khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin bersiaran secara langsung dari Masjid Jamek Kuching.
Majlis kemudian disusuli dengan solat Isyak berjemaah, persembahan Zikir Marhaban dan jamuan makan malam.
Turut hadir Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Datuk Bandaraya Miri, Kaunselor Ariffin Mohamad, Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri, Temenggong Bahagian Miri, Temenggong Dato Abdul Rahman Abang Fadzail, Pengerusi Masjid At-Taqwa, Jamalulalam Shani dan Setiausaha Masjid At-Taqwa, Tajudin Ramli.
Pada pagi Khamis ini, Majlis Perhimpunan dan Perarakan diadakan di Dewan Suarah Miri dan akan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Dr Ripin Lamat. – TVS