KUCHING, 28 Sept: Sarawak menjadikan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam pembentukan Piagam Madinah sebagai panduan membentuk perpaduan kaum di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau piagam tersebut menekankan keadilan dalam mentadbir kerajaan terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.
Abang Johari menambah amalan toleransi terhadap kepercayaan dan agama diperlihat secara terang lagi nyata semasa peristiwa menandatangani perjanjian tersebut.
“Perjanjian tersebut tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan kemuliaan sifat Baginda dalam hubungan antara agama.
“Sebab itu kita mengambil iktibar. Di Sarawak kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama, sudah tentu kerajaan Sarawak memberikan keadilan untuk membangunkan negeri dalam keadaan aman dan makmur.
“Inilah satu-satu sifat yang ada pada rakyat Sarawak yang penuh bertoleransi dalam kita membangunkan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Sarawak di Padang Merdeka pada Khamis.
Tambahnya lagi, pejuangan Baginda dalam pentadbiran adalah penuh berintegriti dan berwawasan, maka perlu dijadikan sebagai iktibar dalam pengurusan negara pada hari ini.
Beliau dalam pada itu berharap agar Sarawak menjadi wilayah yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Kita berdoa agar Sarawak akan terus maju berdasarkan kepada PCDS 2030,” katanya. -TVS