DEBAK, 28 Sept: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Debak ketika bermain berseorangan di pengkalan perahu Kampung Hilir Debak Laut dekat sini pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohd. Naqib Iman Nasriman berusia enam tahun sehingga kini masih belum dijumpai.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3 Sri Aman, Penguasa Bomba Muhamad Rais Adham Rosalan berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 10.35 pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 11.35 pagi.
“Sepasukan tujuh anggota bomba terlibat dalam SAR bersama agensi lain namun sehingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan keterangan oleh ahli keluarga, mangsa dipercayai pergi ke pengkalan itu kira – kira pukul 9.15 pagi.
“Laporan polis oleh ahli keluarga mangsa memaklumkan seorang saksi melihat mangsa berjalan menghala ke arah pengkalan perahu di sungai berkenaan.
“Ahli keluarga mangsa kemudian ke situ dan menemui selipar serta baju,” katanya.
Menurut Muhamad Rais, operasi pencarian turut disertai seramai 100 orang penduduk kampung menggunakan 20 buah perahu melibatkan radius dua kilometer ke hulu dan ke hilir sungai berkenaan.
“Tiada petunjuk positif sepanjang pencarian dan operasi ditangguh pada 5.50 petang tadi berikutan cuaca semakin gelap dan operasi akan disambung pagi esok,” tambah beliau. -TVS