JAKARTA, 28 Sept: Indonesia secara rasmi melarang transaksi perniagaan di platform media sosial.
Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan berkata, keputusan berkenaan bagi membina ekosistem perdagangan elektronik yang adil.
Kata beliau, langkah itu juga bagi mengawal urus niaga perdagangan berikutan penggunaan secara meluas platform media sosial tidak berlesen sebagai ‘e-dagang’ seperti TikTok untuk transaksi perniagaan.
“Ini mengakibatkan persaingan tidak sihat menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Peraturan ini untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang adil, sihat dan bermanfaat dengan mengambil kira perkembangan dinamik teknologi,” katanya.
Kata beliau Kerajaan Indonesia membuat keputusan itu juga bertujuan untuk menyokong pemerkasaan PKS dan perniagaan perdagangan melalui sistem elektronik (PMSE) dan meningkatkan perlindungan pengguna.
“Media sosial hanya dibenarkan sebagai platform untuk mempromosikan barangan tanpa sebarang transaksi perniagaan,” katanya.
Beliau memberitahu, larangan berkenaan kelak akan terkandung dalam Peraturan Menteri No. 31 Tahun 2023 tentang Pelesenan, Pengiklanan, Bimbingan dan Pengawasan Pengusaha Perniagaan PMSE yang menyemak Peraturan Menteri No. 50 pada 2020.-TVS