HANGZHOU, 28 Sept: Skuad hoki lelaki kebangsaan menepati ramalan selepas mudah mengatasi Indonesia 9-2 pada aksi ketiga Kumpulan B temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park, di sini, hari ini.
Indonesia dibimbing bekas jurulatih skuad wanita kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah memberikan tentangan sengit di suku pertama apabila mengikat kedudukan 1-1 selepas gol Ahdan Asasi Ramadhan Uno pada minit ke-15 menafikan gol pembukaan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-10.
Pasukan negara mula menguasai permainan di suku kedua selepas kembali di depan menerusi gol Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-17 sebelum jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan dua minit berselang memastikan Malaysia mendahului selesa 3-1.
Di suku ketiga skuad bimbingan Arul Selvaraj mula menunjukkan taring selepas meledak lima gol masing-masing menerusi tiga pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-33, Muhammad Najmi (minit ke-35) dan Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-43.
Sementara Shello Silverius dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing mencetak nama sebagai penjaring untuk menjadikan kedudukan 8-1 menjelang suku terakhir.
Malaysia menambah satu lagi jaringan hasil pukulan sudut penalti Muhamad Aminudin Mohd Zain pada minit ke-48 sebelum Indonesia berjaya mencuri satu lagi gol menerusi pukulan penalti Aulia Akba Al Ardh pada minit ke-55.
Meskipun melakar kemenangan, Arul kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas membenarkan pihak lawan membolosi gawang negara sebanyak dua kali dalam tiga perlawanan kumpulan.
“Saya tidak puas hati dari segi konsentrasi, teknikal dan apabila kita membenarkan Indonesia menjaringkan dua gol. Saya tidak gembira dan saya akan selesaikannya esok,” katanya selepas perlawanan itu.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia merakam tiga kemenangan berturut-turut selepas membenam Thailand 9-0 dan Oman 11-1 dalam dua aksi pertama.
Malaysia akan mengharungi perlawanan tumpuan menentang Korea Selatan di venue sama, Sabtu ini yang dianggap sebagai aksi penentu juara kumpulan sebelum menamatkan saingan kumpulan bertemu China, Isnin depan. -TVS