KUCHING, 28 Sept: Duo R&B, Guccimith dan Zhe Kamil meluahkan keterujaan apabila dijemput membuat persembahan pada Borneo Sonic Music Festival (BSMF) 2023 yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober depan.
Mereka berjanji mahu menampilkan kelainan ketika beraksi pada BSMF 2023 yang turut dimeriahkan oleh artis antarabangsa.
Taeyang bakal gegarkan Stadium Negeri Sarawak sempena BSMF 2023
Menurut Guccimith, ketika menerima panggilan untuk membuat persembahan bersama Zhe Kamil, dia seakan – akan tidak percaya.
“Apabila saya maklumkan kepada Zhe Kamil, dia turut terkejut malah bertanya beberapa kali untuk mendapatkan kepastian,” katanya kepada TVS hari ini.
Sementara itu, Zhe Kamil berkata, dia terkejut namun bersyukur dengan peluang keemasan yang diberikan oleh penganjur.
“Sudah pasti penampilan kami pada BSMF 2023 akan menjadi pengalaman menakjubkan sepanjang karier,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan yang dilakukan untuk menggegarkan pentas acara itu, Zhe Kamil berkata, dia berharap agar segalanya berjalan lancar.
“Kami akan membuat kejutan kepada penonton, jika ingin tahu, kena tunggu dapat dapatkan tiket konsert,” katanya.
Sementara itu ketika berkongsi perjalanan karier seni mereka, Guccimith berkata, sepanjang tiga tahun bekerjasama, mereka begitu serasi malah dapat menghasilkan karya yang lebih baik.
“Saya yang bermula dahulu dalam industri dan terjumpa dengan Zhe Kamil pada satu acara muzik.
“Dia menyapa saya dan memperkenalkan diri sebagai seorang penerbit. Kami berbincang dan bersetuju untuk cuba bekerjasama,” katanya.
Menurut Guccimith, kerjasama mereka merupakan langkah tepat malah terus bergerak laju dalam industri muzik R&B.
Sementara itu Guccimith dan Zhe Kamil turut memaklumkan mereka akan tampil dengan single terbaharu selepas persembahan pada BSMF 2023. -TVS