TANJUNG MANIS, 28 Sept: Kerajaan komited menyemarakkan aktiviti keagamaan di sini menerusi pembangunan empat buah masjid bagi membolehkan masyarakat setempat melaksanakan pelbagai aktiviti mengimarahkan rumah ibadah, kata Datuk Len Talif Salleh.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu kesemua masjid terbabit bukan sahaja berwajah moden tetapi juga menyediakan prasarana ibadah yang lebih selesa.
Walaupun sebelum ini pelaksanaan projek itu mengambil masa katanya, namun hasil kesungguhan kerajaan, kesemua masjid berkenaan kini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Islam di kawasan berkenaan.
“Masjid itu ialah Al-Firdaus Tanjung Manis, Masjid Darul Ibadah Rajang, Masjid Darul Arqam Belawai dan Masjid Al-Haj Kampung Jerijeh.
“Kita bersyukur dengan adanya kemudahan ini, penduduk Islam Tanjung Manis bukan sahaja boleh beribadah dengan lebih selesa tetapi juga dapat mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tanjung Manis, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mahu jawatankuasa masjid dan surau di daerah ini bergerak lebih proaktif dalam usaha menarik golongan belia menyertai pelbagai program kerohanian.
Katanya, penyertaan generasi muda sangat penting bagi memastikan program yang dijalankan oleh pihak masjid dan surau mencapai objektifnya.
“Jawatankuasa berperanan penting mengerakkan aktiviti institusi ibadat ini supaya sentiasa aktif dalam menarik penyertaan minat masyarakat termasuk golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, sambutan diserikan dengan perarakan sebanyak 27 kontinjen yang mewakili pelbagai agensi, pertubuhan dan persatuan.
Johan disandang Kontinjen Fattuhrahman mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Manis, tempat kedua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, SK Abang Buyuk Jerijeh Baru tempat ketiga, Kontinjen Tanjung Manis Development (TMD) tempat keempat manakala, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Rajang dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hilir Rajang berkongsi tempat kelima.
Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah,Pengurus Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Bahagian Tanjung Manis, Kaswadi Buang, Ketua Operasi Tanjung Manis Development (TMD) Sdn Bhd, Mornurazli Morshidi dan Pemanca Daerah Tanjung Manis, Morshidi Morris.- TVS