TATAU, 28 Sept: Kira-kira 600 ekor ayam rentung selepas dua blok ternakan dan sebuah jengkaut musnah dalam kebakaran di sebuah ladang perternakan ayam di Sungai Sap, dekat sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu disedari oleh pekerja yang tinggal berhampiran sebelum mereka menghubungi bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Jankey Jikat berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera LFRT dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2.30 pagi.
“Kebakaran menyebabkan kira-kira 600 ekor ayam hampir matang rentung apabila dua blok kandang ayam bersaiz 400 dan 60 kaki persegi terbakar sepenuhnya.
“Kebakaran juga memusnahkan sebuah jengkaut lima tan yang diparkir berhampiran di blok yang terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan teknik ‘offensive’ dengan membentang hos 500 kaki dua nozel satu pam angkut menggunakan sumber air terbuka dari kolam berhampiran.
“Kebakaran dapat dikawal pada 3.30 pagi dan pasukan berjaya mengawal api daripada merebak ke dua blok ternakan ayam yang lain,” katanya.
Jankey berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.50 pagi dan kejadian tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu. -TVS