SIBU, 27 Sept: Empat lelaki yang dipercayai terlibat melakukan sembilan kes ugutan jenayah dan khianat ditahan polis di daerah ini.
Pesuruhajaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang ‘Ah Long’.
Kata beliau, mereka ditahan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di Lorong Lada 3 pada 8.50 malam, Jumaat lepas.
“Anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki oleh tiga lelaki dalam keadaan yang mencurigakan.
“Pemeriksaan dalam kereta menemui dua botol cat berwarna merah dan satu rantai pengunci,” katanya dalam sidang media di IPD Sibu di sini hari ini.
Katanya, polis juga menjumpai tiga buah telefon bimbit dan dua keping nota ugutan yang disimpan dalam beg sandang salah seorang suspek.
Menurut Mohd. Azman, kesemua suspek mengaku bekerja sebagai pemungut hutang kepada Ah Long dengan upah RM300 untuk setiap tugasan.
“Antara tugasan mereka termasuk menghantar nota ugutan dan menyimbah cat ke rumah penghutang yang gagal menjelaskan pinjaman yang dibuat melalui Facebook,” tambahnya.
Siasatan lanjut katanya membawa kepada penahanan seorang lagi suspek.
“Dua daripada kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (APPW) manakala kes selebihnya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memohon pinjaman daripada peminjam wang tidak berlesen atau dalam talian. -TVS