LIMBANG, 27 Sept: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM210 juta untuk membina beberapa jalan luar bandar di daerah ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, antara jalan yang akan dibina termasuk dari Rumah Aling ke Penganan Hulu Kubong Limbang yang kini di peringkat reka bentuk.
Kata beliau, selain itu Jalan Bukit Lubuk yang menghubungkan Kampung Limpaku Pinang di Teluk Brunei yang sebelum ini bergantung kepada laluan sungai juga akan dibina oleh KKDW.
“Semua ini akan dilaksanakan selain projek jalan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai menuju ke Jalan Nanga Merit yang telah diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Integrasi Pegari Smeda Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit 2023 di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Sementara itu Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang optimis projek berkenaan dapat memberi impak positif kepada rakyat setempat.
“Ini termasuk kepada murid sekolah terutama apabila sekolah berkelompok dibina kelak,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap agar kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan projek berkenaan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. -TVS