Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suasana Kuching Intercultural Mooncake Festival yang meriah dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. Foto: TVS

KIMF satukan masyarakat melalui kepelbagaian makanan

KUCHING, 27 Sept: Kuching Intercultural Mooncake Festival (KIMF)  yang diadakan di Carpenter Street kini kembali sebagai salah satu festival menarik yang dinanti-nantikan ramai masyarakat Sarawak bermula 20 September sehingga 29 September ini.

Tinjauan TVS mendapati KIMF bukan hanya diraikan oleh kaum Cina sahaja, malah salah satu festival kebudayaan yang mengeratkan perpaduan antara kaum di Sarawak, terdapat peningkatan peniaga Muslim yang bertapak di festival berkenaan.

KIMF satukan rakyat melalui kepelbagaian makanan | TVS

Salah seorang peniaga kuih-muih dan minuman Mohd Iswan yang ditemui berkata, sambutan adalah sangat meriah dengan penambahan jumlah peniaga Bumiputera lain yang menyemarakkan lagi tapak Festival Kuih Bulan itu.

“Festival pada tahun ini sangat meriah berbanding tahun lepas kerana penambahan peniaga Muslim dan berbangsa Cina. Hal ini kerana ramai peniaga Muslim yang baharu tahu mengenai KIMF ini dan terus menyertai jualan di festival ini. Harga jualan di sini semua berpatutan,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi peniaga kuih keretapi, Qaisara Sumiyyah, dia melihat festival sebegini dengan kepelbagaian jualan menarik yang membuatkan lebih ramai bangsa-bangsa lain juga dapat merasai kemeriahan jualan yang terdapat di festival berkenaan.

“Festival ini bagus untuk para peniaga seperti saya kerana ramai pengunjung datang ke sini pada setiap malam dan ada banyak aktiviti lain yang diadakan. Saya melihat pelbagai bangsa tidak kira Melayu, Iban, Cina dan banyak lagi  yang datang untuk memeriahkan Festival Kuih Bulan yang diadakan sekali setahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha kuih bulan kek lapis, Maria Nguisamoi menyatakan kenaikan harga kuih bulan kek lapisnya disebabkan kos yang semakin mahal.

Namun katanya, ia tidak menjadi penghalang jualannya terus mendapat permintaan orang ramai.

“Festival Kuih Bulan pada tahun ini mempunyai pelbagai jualan yang terdiri daripada peniaga Muslim dan Cina. Saya menjual kuih bulan kek lapis yang terdiri daripada pelbagai perisa sangat laku dibeli oleh pengunjung tetapi tahun ini harganya sedikit naik kerana harga bahan juga naik,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rafi Johan menyatakan kunjungan yang dirasakan pada kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya tanpa sebarang prosedur dan mempunyai lebih banyak pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh peniaga dengan harga yang berpatutan.

“Setakat ini, festival ini sangat menarik kerana ia mampu menyatupadukan rakyat Sarawak yang terdiri pelbagai bangsa kerana tidak kira agama semua boleh membeli makanan di sini. Saya berasa festival pada kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu yang dikekang dengan pandemik COVID-19. Dari segi harga, semuanya dijual dengan harga berpatutan,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan