SARIKEI, 27 Sept: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei mempersiapkan kekuatan anggota dan logistik menghadapi kemungkinan banjir di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, walaupun ketika ini tiada laporan banjir diterima namun pihaknya akan menjalankan rondaan di kawasan yang dijangka terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk.
Menurutnya, selain kawasan rendah yang berisiko banjir kilat, rondaan turut dilakukan dengan menggunakan bot di sepanjang tebingan Sungai Rajang.
“Pada masa yang sama, kita juga telah mengadakan latihan pengujian kelengkapan logistik bagi memudahkan penghantaran bantuan, penyelamatan, kecemasan dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu beliau berkesempatan menghadiri majlis jamuan ringkas bersama Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman @ Hussaini, di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya di kawasan tebingan sungai untuk bersedia sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.
Penduduk di kawasan berisiko tinggi katanya, perlu melakukan persediaan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat lebih tinggi, memastikan anak-anak berada di rumah dan tidak menyentuh dawai elektrik.
Mahmudin berkata, Monson Timur Laut dijangka membawa hujan lebat terutamanya di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Selain itu, pihak bomba juga menggesa kerjasama penduduk setempat agar berkongsi situasi paras air dan sungai di kawasan masing-masing.
“Kesiapsiagaan bomba amat penting bagi memastikan tindakan cepat sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan harta benda.
“Justeru, sebarang maklumat maklumat berkaitan juga amat penting bagi memudahkan pemantauan dan persediaan sekiranya bencana banjir melanda,” ujarnya. – TVS