KUCHING, 26 Sept: Warga Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak disaran terus berinovasi dan mencari idea-idea baharu bagi menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, warga kementerian juga perlu melunaskan tugasan yang diberikan dengan penuh integriti.
Kata beliau, usaha untuk memupuk nilai dan budaya integriti sebagai cara hidup rakyat tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau masa-masa tertentu sahaja.
“Hal ini kerana peningkatan secara drastik pelbagai salah laku moral seperti kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara kita membuktikan masalah defisit integriti dalam kalangan rakyat pada ketika ini cukup membimbangkan.
“Ini tidak boleh dibiarkan terus merobek sistem moral dan nilai yang sepatutnya menjadi benteng integriti diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Majlis Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan, dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr. Ripin Lamat dan Setiausaha MYSED Morshidi Fredrick.
Sementara itu, konvensyen berkenaan melibatkan penyertaan sebanyak 13 kumpulan yang akan membentangkan projek inovasi masing-masing terdiri daripada kakitangan Ibu Pejabat MYSED, Pejabat Bahagian, Dewan Suarah, Kem Belia dan Perbadanan Sukan Sarawak.
Pemenang Konvensyen ICC, MYSED 2023 dibahagikan kepada tiga kategori: Inovasi Terbaik dimenangi oleh D Power 8 membawa pulang trofi dan hadiah tunai sebanyak RM1,200. -TVS