LIMBANG, 26 Sept: Kursus Kemahiran Kawad RELA Siri Dua Tahun 2023 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Sarawak mampu memupuk disiplin, jati diri yang tinggi dan semangat kerjasama dan setiakawan yang utuh.
Pegawai RELA Daerah Limbang, Lusia A Jakaria berkata, kursus ini juga mampu melahirkan anggota RELA yang mahir dan berpengetahuan dalam asas kawad kaki.
Katanya, setiap anggota RELA perlu terus memainkan peranan dalam menabur bakti kepada masyarakat kerana RELA itu sendiri masih relevan di kalangan masyarakat.
“Setiap cabaran memerlukan inisiatif dan kesatuan dalam menyelesaikan cabaran ini secara bersama. Di hadapan saya ini adalah peserta yang sangat bersemangat dan tidak gentar untuk memikul cabaran ini bersama.
“Mereka juga memasang niat untuk belajar banyak perkara dalam kursus, mengambil peluang untuk meluaskan pengetahuan, pengalaman dan jaringan kenalan dengan rakan-rakan dari daerah lain,” katanya ketika berucap pada Perasmian Penutupan Kursus Kemahiran Kawad RELA Siri Tahun 2023 RELA, Negeri Sarawak di Kompleks Sukan Limbang hari ini.
Turut sama ialah wakil Ketua Polis Daerah Limbang, ASP Khairul Ridzuan Ahmad, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri dan ketua jabatan kerajaan lain.
Kursus Kemahiran Kawad RELA itu merupakan satu kursus lanjutan menggabungkan tujuh daerah di zon empat iaitu zon utara Sarawak.
Ia terdiri daripada Limbang, Lawas, Miri, Marudi, Belaga, Bintulu dan Tatau dengan menarik penyertaan 93 peserta yang bermula pada 20 September lalu dan berakhir hari ini. – TVS