WASHINGTON, 26 Sept: Ais yang mengelilingi lautan di sekitar Antartika mencecah paras terendah pada musim sejuk ini, kata Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan (NSIDC) Amerika Syarikat (AS) semalam.
Ini menambah kebimbangan dalam kalangan penyelidik berhubung peningkatan kesan perubahan iklim di kawasan selatan.
Penyelidik memberi amaran bahawa peralihan itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada haiwan seperti penguin selain mempercepatkan pemanasan global.
Saintis Kanan NSIDC, Walt Meier berkata, tahap pengurangan ais laut Antartika paling memuncak dikesan pada tahun ini iaitu pada 10 September lalu apabila ia hanya meliputi 16.96 juta kilometer (km) persegi, iaitu musim sejuk terendah setakat ini sejak rekod satelit bermula pada 1979.
Jumlah itu adalah kira-kira satu juta kilometer persegi kurang daripada rekod musim sejuk sebelumnya yang ditetapkan pada 1986.
“2023 bukan sekadar tahun yang memecahkan rekod namun ia berada pada tahap tertinggi pecah rekod,” kata Meier.
Menurut laporan NSID, angka yang dikeluarkan itu masih di peringkat awal dengan analisis penuh dijangka dikeluarkan bulan depan.
Kawasan artik dilanda perubahan iklim yang teruk sejak sedekad yang lalu dengan ais laut merosot semakin cepat apabila kawasan utara mencatatkan suhu panas empat kali lebih cepat daripada purata global.
Walaupun perubahan iklim menyumbang kepada pencairan glasier di Antartika, namun tidak dapat dipastikan bagaimana suhu panas mempengaruhi ais laut berhampiran kutub selatan.
Tahap ais laut di sana dilaporkan meningkat antara 2007 hingga 2016 lalu.
Perubahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini ke arah keadaan yang paling rendah menyebabkan para penyelidik bimbang perubahan iklim berisiko mengancam laut Antartika.
Meier berkata, walaupun terlalu awal untuk merumuskan perkara itu namun artikel akademik yang diterbitkan pada awal bulan ini menerusi jurnal Communications Earth and Environment menunjukkan perubahan iklim boleh menjadi faktor yang berpotensi.
Kajian itu mendapati bahawa suhu laut yang semakin panas, didorong terutamanya disebabkan pelepasan gas rumah hijau menjadi penyumbang kepada paras ais laut yang lebih rendah sejak 2016.
Penyelidik ais laut di Universiti Monash Australia, Ariaan Purich berkata, mesej utama adalah untuk melindungi keadaan berkenaan atas beberapa sebab.
“Adalah sangat penting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya yang merupakan pengarang bersama kajian itu. – TVS