SIBU, 25 Sept: Seekor ular sawa seberat 50 kilogram, sepanjang lima meter ditangkap di dalam reban selepas menelan seekor angsa di Kampung Jeriah di sini, hari ini.
Penternak angsa itu, Baharudin Jerman, 56, berkata dia menyedari ketika hendak memberi makan haiwan ternakan miliknya di kawasan rumah keluarganya sekitar 8 pagi itu.
“Ketika berada di depan reban saya mendapati seekor daripada angsa hilang dan agak terkejut apabila melihat seekor ular sawa sedang lena berlingkar di sudut reban itu.
“Tidak tahu bagaimana hendak menangkap ular itu, saya terus menghubungi talian Hotline Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu untuk meminta bantuan menangkap reptilia itu,” kata kepada TVS hari ini.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Sibu Mejar (PA) Wan Mohd Jabir Wan Mohd Barudin ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 10.20 pagi telah menggerakkan sepasukan empat anggotanya ke lokasi.
Menurutnya, ular sawa itu berjaya ditangkap menggunakan penjerut khas.
“Anggota APM tiba di lokasi pada 11.04 pagi dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk untuk menangkap ular sawa terbabit. Operasi selesai pada 11.38 pagi.
“Ular itu kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sibu sebelum diserahkan kepada pihak Penguat Kuasa Taman Negara dan Hidup Liar untuk tindakan lanjut,” katanya. – TVS