Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha (tengah) pada sidang media Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1445H/2023M di Pejabat Majlis Islam Sarawak, Majma Mall, Kuching hari ini. Foto: TVS

Seramai 10,010 orang, 237 kontinjen terlibat Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 2023

KUCHING, 25 Sept: Seramai 10,010 orang terdiri daripada 237 kontinjen akan terlibat bagi Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak tahun ini yang disambut di Kuching pada 27 dan 28 September ini, kata Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.

Beliau berkata, sambutan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul pada 27 September di Masjid Jamek Negeri Sarawak manakala Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul diadakan pada 28 September di Padang Merdeka.

“Pada 27 September, kita akan raikan Majlis Kesyukuran dan Zikir Maulidur Rasul di Masjid Jamek Negeri Sarawak bermula sekitar 6.30 petang, diiringi solat Maghrib, bacaan Yasin dan diikuti ceramah khas oleh Mufti Sarawak.

“Pada 28 September, kita akan mengadakan perhimpunan dan perarakan di Padang Merdeka bermula pada jam 6.30 pagi. Kita terima penyertaan yang amat menggalakkan iaitu seramai 237 kontinjen akan hadir di majlis berkenaan.

“Ia melibatkan lapan kategori termasuk sekolah, badan berkanun, masjid dan surau, institut pengajian dan jabatan persekutuan dan negeri,” katanya.

Menurutnya, majlis dijangka akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Selain itu, turut bakal hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Misnu berkata, terdapat dua perjalanan bagi perarakan Maulidur Rasul pada 28 September iaitu Laluan A sepanjang 4.3 kilometer manakala Laluan B sepanjang 3.7 kilometer yang akan bermula seawal 6.30 pagi.

“Kita juga ingin memaklumkan ada dua perjalanan perarakan iaitu satunya perjalanan dari kawasan kampung, Laluan A yang melibatkan sekitar 4 kilometer lebih yang bermula di Padang Merdeka.

“Kedua, perjalanan meliputi bandaraya Kuching sekitar 3.7 kilometer. Kontinjen akan dibahagi oleh Jabatan Residen dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bahawa mereka akan pergi ke kawasan berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1445H/2023M di Pejabat Majlis Islam Sarawak, Majma Mall di sini, hari ini.

Sambutan tahun ini bertemakan ‘Sarawak Makmur Ummah Sejahtera’ itu turut mengadakan Pertandingan Sepanduk dan Perarakan dengan juara akan menerima wang tunai RM7,000, naib juara RM5,000, tempat ketiga RM3,000, tempat keempat RM1,000 dan tempat kelima RM500.

Selain itu, turut diadakan program iringan iaitu Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Cinta Teragung’ pada 5 Oktober dan Ceramah Bersiri bermula September sehingga Oktober ini.

Majlis diadakan dalam usaha mengingati kembali peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan di samping menyemarakkan kasih sayang dalam kalangan umat Islam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan