MIRI, 25 Sept: Syarikat penerbangan tambang rendah Scoot dan Singapore Airlines (SIA) akan menambah jumlah penerbangan antara Singapura dan Miri pada tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, fokus kerjasama kementeriannya dengan Scoot bukan sahaja ke arah memajukan sektor pelancongan, tetapi juga untuk sektor perniagaan.
“Contohnya, Miri mempunyai industri minyak dan gas, terdapat pelancong perniagaan terbang dengan Scoot untuk mendapatkan penerbangan sambungan oleh SIA untuk terbang secara antarabangsa dari Singapura ke Miri,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat dengan Scoot di sini, hari ini.
Setakat ini, terdapat tiga penerbangan antara Singapura dan Miri manakala terdapat penerbangan harian antara Singapura dan Kuching.
Selain itu, Kim Shin juga telah berbincang dengan SIA dan Scoot untuk menawarkan pakej istimewa kepada pelancong yang terbang dari Singapura ke Sarawak.
“Kita juga membincangkan dengan SIA untuk turut membawa penumpang dan pelancong yang datang dari Singapura untuk penginapan lanjutan agar datang ke Sarawak.
“Contohnya, mereka tinggal beberapa hari di Singapura dan selepas itu mereka terbang ke Sarawak seperti Kuching dan Miri untuk bercuti. Ini terutamanya untuk pelancong dari Eropah,” ujarnya.
Miri yang kini berkembang pesat dengan aktiviti industri seperti minyak dan gas, pembinaan kapal dan pelancongan, beliau percaya adalah penting untuk meningkatkan bilangan penerbangan antara Singapura dan Sarawak terutamanya bagi pelancong perniagaan. – TVS