MIRI, 24 Sept: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk melahirkan lebih ramai atlet sukan pelayaran dari bahagian ini dan kawasan sekitar, kata Dr Ripin Lamat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, ini kerana Sarawak masih kekurangan atlet dalam sukan berkenaan.
“Atlet pelayaran dari Miri masih kurang dan dan sebenarnya amat diperlukan untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) pada Oktober 2024 di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Larian Amal Telang Usan di Kelab Bot Piasau di sini hari ini.
Sementara itu Ripin berkata, beliau percaya belia Orang Ulu berbakat bakat dalam sukan berkenaan dan berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dapat mencari bakat tempatan.
“Saya minta Dennis Ngau (pantau) jika terdapat belia berumur 21 sehingga 23 tahun yang boleh sertai sukan ini.
“Kita tahu Orang Ulu mempunyai tenaga yang luar biasa, kuat, bot juga senang untuk mereka angkat. Jadi, banyak peluang untuk mereka memandangkan Sarawak kekurangan atlet untuk sukan ini,” katanya.
Sementara itu beliau memberitahu, Miri akan menjadi tuan rumah untuk lima acara SUKMA iaitu pelayaran, silat, ragbi, sepak takraw dan karate. – TVS