KUALA LUMPUR, 25 Sept: Seramai 30,893 pelajar ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) melibatkan peruntukan RM46.34 juta bagi kemasukan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi Oktober tahun ini.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memaklumkan pelajar itu akan menerima WPP RM1,500 bagi pengajian di IPTA.
Inisiatif ini demi memastikan tiada pelajar yang terpinggir daripada melanjutkan pelajaran akibat masalah kewangan.
“Bantuan ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia setelah mereka bersetuju menerima WPP melalui permohonan UPU online atau melalui portal IPTA selain ibu bapa atau penjaga pelajar harus menjadi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata WPP bertujuan mendukung pencapaian matlamat pendidikan negara dengan memastikan bahawa semua pelajar dapat meneruskan pengajian di IPTA tanpa menghadapi beban kewangan.
“Pemberian WPP ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT, semuanya memerlukan sumber kewangan yang tinggi.” katanya.
Pelajar boleh memeriksa penawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan menunaikan WPP berkenaan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara dalam tempoh dua bulan bermula 19 Sept hingga 18 Nov 2023 dengan membawa surat tawaran WPP dan MyKad pelajar (wakil tidak dibenarkan).
Informasi tambahan tentang WPP dan pinjaman PTPTN dapat dilayari melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my selain siswa juga boleh mendapatkan informasi dengan cepat melalui aplikasi myPTPTN.- TVS