Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lapan lelaki warga Sarawak berusia antara 25 hingga 35 tahun menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar. Foto hiasan: TVS

Lapan warga Sarawak mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 25 Sept: Lapan lelaki warga Sarawak yang berusia antara 25 hingga 35 tahun menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata laporan polis yang dibuat keluarga mangsa telah dirujuk ke Cawangan D3 (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Interpol dan Aseanpol bagi membantu untuk mengesan dan menyelamatkan kesemua mangsa.

Laporan polis dibuat pada 21 dan 22 September lepas.

“PDRM telah memaklumkan kepada konsulat dan Kementerian Luar Negeri bagi membantu mempercepat proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua mangsa yang terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Jelasnya, kesemua mangsa mendapat tawaran pekerjaan melalui aplikasi media sosial Facebook untuk bekerja di Thailand dan ditawarkan gaji sekitar RM3,000 sehingga RM6,000, namun mangsa tidak mengetahui apakah jenis pekerjaan yang ditawarkan.

Maklumat yang diterima juga mengatakan setibanya di Thailand, kesemua mangsa seterusnya dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’, sekiranya tidak mencapai sasaran  ditetapkan majikan, mereka akan didenda dan didera serta diugut serta dijual kepada ejen lain.

“Kesemua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga dan mangsa hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi,” ujarnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja yang diterima yang menawarkan gaji lumayan, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan