KUCHING, 25 Sept: Kumpulan Marhaban Persatuan Melayu Limbang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Zikir Marhaban Peringkat Sarawak anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS).
Kumpulan tersebut memenangi hadiah wang tunai RM10,000 serta piala pusingan dan piala iringan.
Kumpulan Suara Kilauan Majma pula memenangi tempat kedua dengan hadiah RM7,000 berserta piala, manakala Kumpulan Alhamra Bomba mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 juga berserta piala.
Kedua-dua kumpulan tersebut merupakan wakil Kuching.
Hadiah-hadiah disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PKMS, Dr Wan Ali Tuanku Madhi berkata pertandingan tersebut juga adalah yang julung-julung kali diadakan dan disertai 15 pasukan.
“Penyertaan kali ini dibuka kepada kumpulan marhaban lelaki sahaja. Insya-Allah pada pertandingan akan datang, kami akan membuka kepada penyertaan kumpulan wanita juga,” katanya berucap pada majlis tersebut.
Menurutnya, PKMS akan terus memelihara seni marhaban di Sarawak dengan mengadakan pertandingan sekurang-kurang dua tahun sekali.
“Ini datang dari saranan daripada Premier kita dan PKMS akan menjadikan pertandingan ini dan juga aktiviti-aktiviti lain sebagai aktiviti teras tambahan,” katanya. – TVS