SIBU, 25 Sept: Kenny Lajim Jemali dinobatkan sebagai juara Pertandingan Lagu Iban Terbuka 2023 yang menutup tirainya di Dataran Sibu Fasa II pada malam Ahad.
Kacukan Lun Bawang-Iban, Kenny yang berasal dari Pakan membawa pulang sebuah piala dan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
Beliau berjaya memikat hati para juri dengan mengenepikan 12 finalis lain yang berentap pada pertandingan akhir itu.
“Saya amat bersyukur dan sangat gembira kerana menjadi juara pertandingan Lagu Iban Terbuka 2023 ini.
“Dengan anugerah ini, saya juga sangat berterima kasih dengan semua juri profesional yang telah memberi penuh kepercayaan kepada persembahan serta vokal saya,” kata Kenny kepada TVS di sini semalam.
Menurutnya, beliau telah lama menyimpan hasrat untuk menjadi seorang penyanyi namun setakat ini beliau mahu menyertai seberapa banyak pertandingan nyanyian untuk mengasahkan bakat nyanyiannya sebelum merealiasasikan impiannya.
“Dengan gelaran juara ini, saya memang menaruh impian untuk menjadi penyanyi suatu hari nanti namun saya masih belum berpuas hati dan ingin mencabar diri sendiri untuk menyertai apa jua pertandingan nyanyian mahupun pertandingan karaoke tak kira dalam apa jua bahasa jua pun saya akan terus berusaha,” ujar beliau.
Sementara itu, naib johan disandang oleh Angelina Nyumping dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta piala manakala tempat ketiga dimenangi oleh Robert Ngalang membawa pulang RM700 serta piala.
Sementara itu, Hafiz Ibrahim turut menambat hati para juri apabila dipilih sebagai pemenang bagi kategori Persembahan Terbaik juga menerima hadiah wang tunai RM500.
Sepuluh finalis lain, masing-masing menerima hadiah saguhati.
Seramai 51 peserta mengesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut anjuran Persatuan Penjaja-Penjaja Bahagian Sibu (PPPBS) dan Good Luck Event Entrerprise bersempena dengan Pesta Ria dan Pesta Makanan 2023.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu Datuk Lau Cheng Kiong – TVS