LIMBANG, 25 Sept: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan perlu menekankan isu keselamatan kampung selain aspek kemajuan kawasan kampung masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peranan JKKK amat penting dalam memastikan kampung masing-masing selamat daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menjelaskan, setiap JKKK kampung juga perlu mendalami ilmu dan pengetahuan keselamatan kebakaran dalam mengelak sebarang kejadian kebakaran berlaku selain bertindak pantas memadam kebakaran.
“Kita perlu menjaga kampung masing-masing supaya keselamatan kampung terjamin dalam pelbagai aspek, JKKK itu bermaksud keselamatan daripada kebakaran, kecurian, pencerobohan dan sebagainya. Kita jangan hanya berfikir tentang kemajuan saja, tetapi perlu menekankan aspek keselamatan,” katanya pada Program Bomba Komuniti, Fire Point dan Kempen Keselamatan Kebakaran Zon Tujuh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sarawak di Dewan Kampung Pabahanan Limbang semalam.
Turut sama ialah Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Penguasa Bomba Ramlan Marajan, Pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) Zon Tujuh Limbang Zaki Hussin, Pegawai Penyiasatan Kebakaran Zon Tujuh Clarence D.Primus Tiandun dan Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim.
Program Bomba Komuniti melibatkan 103 orang peserta yang terdiri daripada 10 buah kampung di konstituensi Bukit Kota.
Objektif utama program adalah untuk memastikan budaya keselamatan kebakaran dan amalan pencegahan kebakaran sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian.
Antara pengisian program ialah ceramah berkaitan peranan dan tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan bomba komuniti menghadapi sebarang kejadian kebakaran atau kecemasan dan pendedahan berkaitan ilmu sains kebakaran dan bahaya kebakaran yang perlu dielakkan. -TVS