KUCHING, 25 Sept: Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang akan bersara sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia memberikan khidmat kepada Kerajaan Sarawak jika diperlukan.
Menurut Affendi yang berasal dari Kuching, khidmat bakti itu sama ada daripada aspek keselamatan atau aspek berkaitan yang memerlukan kepakarannya.
Affendi yang telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama lebih 40 tahun akan bercuti sempena persaraannya sehingga Februari 2024.
“Saya pun ada memberitahu Premier bahawa jika ada pertolongan atau bantuan, khidmat nasihat untuk Sarawak maka saya sanggup memberi perkhidmatan saya,” katanya ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kunjungan hormat tersebut adalah sempena persaraan Affendi sebagai Panglima ATM.
Affendi berkata, kunjungan yang dilakukannya itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada Abang Johari dan Kerajaan Sarawak.
Katanya, beliau sudah menyerahkan tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia pada dua minggu lalu. – TVS