KUCHING, 24 Sept: Kenaikan harga makanan tidak akan menjejaskan bantuan disalurkan kerajaan kepada kesemua pangkalan hadapan seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya termasuk agensi kerajaan lain tidak akan mengurangkan bekalan yang diperlukan oleh pangkalan hadapan.
“Kita akan salurkan bantuan makanan seperti biasa, tidak dikurangkan kerana perkara itu menjadi tanggungjawab kerajaan.
“Kebiasaannya pada hari pertama (Pusat Pemindahan Sementara dibuka) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan pek makanan disteril dan kemudiannya perkara lain kita atur berdasarkan keperluan pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meraikan Hari Jantung Sedunia 2023 di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni.
Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Sarawak sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29 September setiap tahun.
Pelbagai aktiviti dianjurkan, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma dan sesi kaunseling kesihatan kepada orang awam.
Selain itu, ahli fisioterapi dari Pusat Jantung Sarawak juga mengadakan ujian kecergasan manakala Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak membantu melakukan pemeriksaan kanser payudara kepada orang awam yang hadir.
Dalam pada itu, Nancy memberitahu bahawa kementeriannya sudah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang diramal November ini.
“Kementerian mempunyai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa bekerjasama dengan pejabat daerah.
“Kalau di Sarawak pula, sudah ada agensi kecemasan bencana sendiri, jadi kita bekerjasam dengan rapat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, menteri bertanggungjawab bagi mendepani banjir juga tidak digalakkan untuk bercuti atau pergi ke luar negara dalam masa terdekat.
Ujarnya, ia susulan fasa Peralihan Monsun dijangka berterusan sehingga penghujung tahun ini. – TVS