LIMBANG, 24 Sept: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Medamit yang menempatkan 17 mangsa banjir daripada dua keluarga ditutup hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, PPS itu ditutup pada 12 tengah hari tadi.
“Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah setelah banjir yang menjejaskan kediaman mereka mulai surut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya keadaan cuaca di sini juga semakin baik ketika ini dan paras air sungai juga semakin menurun.
Sementara itu, Mirwan memaklumkan, satu PPS di Dewan Serbaguna Kampung Buluh Balui masih dibuka yang menempatkan 16 mangsa daripada lima keluarga.
Kesemua mangsa dari Kampung Buluh Balui, Ranggu, Batu Danau dan Pandak. – TVS