JAKARTA, 23 Sept: Presiden Indonesia, Joko Widodo optimis pembangunan infrastruktur asas di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur siap sepenuhnya pada 2024.
Perkara itu diumumkan Jokowi ketika melawat IKN dan menetap di kawasan itu sejak dua hari laluehingga hari ini.
Menurut beliau kemajuan pembinaan bangunan seperti pejabat presiden, istana presiden dan rumah menteri kini mengikut jadual yang ditetapkan,
“Semuanya masih mengikut sasaran, perancangan, dan kini 40 peratus daripada keseluruhan pembinaan infrastruktur asas telah siap, kita jangka ia akan disiapkan secara perlahan pada Mac tahun depan,” katanya.
Beliau juga meyakini pembinaan sedia ada akan menarik dan menggalakkan pelabur menyokong pemindahan ibu negara baharu Indonesia.
Pada kesempatan yang sama, ‘ground breaking’ beberapa kemudahan awam dilakukan bagi memulakan pembinaan seperti Hospital Abdi Waluyo, Hotel Nusantara, dan pusat latihan bola sepak negara.
Keseluruhan kemudahan tersebut katanya adalah contoh hasil pelaburan dari dalam negara mahupun dari luar negara.
Justeru itu, Jokowi optimis pembinaan yang telah berjalan mengikut perancangan mampu menarik dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Dalam pada itu, selain mempelawa banyak lagi pelabur turut serta, Jokowi mendedahkan mulai Oktober beliau akan melawat IKN setiap bulan sehingga ibu negara itu dipindahkan sepenuhnya. -TVS