KUCHING, 23 Sept: Dua guru menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berikrar akan terus menabur bakti serta meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah masing-masing.
Menurut Mary Devid dari Sekolah Kebangsaan St. Gile, Git Puncak Borneo penganugerahan itu memberi semangat kepadanya untuk lebih berdedikasi dan lebih komited dalam kejaya beliau selaku Guru yang mengajar matapelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Bahasa Inggeris di sekolah tersebut.
“Sudah tentu kita (guru-guru) mesti lebih bersedia untuk memajukan diri sendiri terutama dalam bidang pendidikan yang semakin mencabar kini.
“Pada tahun ini dan tahun hadapan, saya akan meningkatkan lagi mutu pekerjaan (pengajaran dan pembelajaran) dengan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan Kementerian Pendidikan terutama dalam bidang IT dan Multimedia” katanya ketika ditemui TVS semalam.
Turut senada, Yvonne Eliza Mroon, 41, yang mengakui dirinya serta guru yang lain untuk terus mempelajari pelbagai perkara baharu bagi memastikan dirinya sentiasa memberikan teknik pembelajaran terkini mengikut peredaran zaman.
“Walaupun saya seorang guru, sampai hari inipun saya masih belajar sebab semakin tahun semakin mencabar (pelajar-pelajar sekolah).
“Dari segi teknik pengajaran mungkin saya akan cuba belajar supaya saya dapat banyak lagi skil baru untuk menarik minat murid-murid untuk belajar dengan lebih gembira” ujarnya.
Seramai 252 penerima APC pada tahun 2022 yang terdiri dari Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) atau guru dan Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP) dari sekolah sekitar daerah Padawan diraikan malam tadi di sebuah hotel terkemuka.
Majlis menyaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Darat) Datuk Dr Jerip Susil menyampaikan anugerah kepada para penerima berupa Sijil APC dan insentif dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM 1,000 yang akan dimasukkan ke Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) PTPTN penerima.
Hadir sama Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Abang Hut Abang Engkeh dan Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Dr Abang Adam Abang Deli. – TVS