KUCHING, 23 Sept: Cabaran para guru hari ini jauh berbeza dengan yang dihadapi golongan itu pada zaman dahulu yang mengajar dalam keadaan serba kekurangan seperti sekolah yang daif, kata Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Darat) Datuk Dr Jerip Susil.
Menurutnya sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an, struktur sekolah pada waktu itu sangat daif seperti berbumbungkan atap nipah, berlantaikan lumpur dan berdindingkan buluh.
Namun begitu situasi tersebut katanya tidak menjejaskan atau menghalang para pelajar menimba ilmu di sekolah sedemikian.
“Semangat pelajar untuk belajar dan menghabiskan pengajian mereka adalah disebabkan dedikasi guru pada ketika itu yang mengajar walaupun keadaan pada ketika itu sangat sukar.
“Itulah keadaannya pada tahun 1950an dan 1960an. Namun pada hari ini, keadaan pelajar di sekolah adalah lebih teratur dan mereka mempunyai sekurang-kurangnya telefon bimbit” katanya.
Jerip berkata demikian pada Hari Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan daerah Padawan tahun 2022 yang diadakan disebuah hotel terkemuka, semalam.
Dalam pada itu, Jerip mahu para guru sentiasa siap siaga mendepani cabaran baharu masa ini dan memainkan peranan dalam memberikan pendidikan yang berkualiti di sekolah masing-masing.
Hadir sama Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Abang Hut Abang Engkeh dan Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Dr Abang Adam Abang Deli-TVS