Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin menunjukkan foto wajah 14 suspek yang disyaki terbabit dalam kes penculikan seorang wanita Indonesia pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town hari ini. Foto: TVS

Wanita diculik dan dicederakan selepas suami gagal bayar hutang

ByBernama

GEORGE TOWN, 22 Sept: Seorang wanita warga Indonesia bukan sahaja berhadapan detik ngeri malah turut dicederakan seluruh badan selepas diculik sekumpulan lelaki selama 10 hari sebelum disembunyikan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, ekoran suaminya gagal membayar hutang sebanyak RM540,000.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata mangsa berusia 34 tahun dan berasal dari Medan itu telah diculik pada 7 Sept lepas, ekoran suaminya juga warga Indonesia dipercayai telah berhutang dengan seorang lelaki warga Malaysia yang merupakan kontraktor, di sini berkaitan perniagaan mereka.

“Mangsa bersama tiga rakan wanitanya sedang bercuti di sini telah diculik tiga lelaki di kawasan Paya Terubong, namun kawan-kawannya dilepaskan tanpa dicederakan oleh suspek manakala wanita itu dibawa ke Butterworth, untuk dikurung di situ.

“Suspek utama kemudian meminta wang tebusan daripada suami mangsa yang berada di Indonesia sebelum mangsa dilarikan serta dikurung di beberapa lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya suami mangsa berusia 47 tahun yang merupakan ahli perniagaan telah membuat transaksi pembayaran berjumlah RM50,750 menerusi pengurup wang namun isterinya masih tidak dilepaskan sebelum suspek meminta bayaran tambahan RM540,000 dan dia terus ke Malaysia kerana bimbang keselamatan wanita itu.

Khaw berkata suaminya bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kinrara, Selangor pada 15 Sept lepas dan bertindak daripada maklumat tersebut polis melancarkan Op Scorpion Rantai bagi mengesan suspek serta menyelamatkan mangsa.

Katanya polis berjaya menyelamatkan wanita itu dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 5.15 pagi 17 Sept dan siasatan juga mendapati mangsa dikurung selama tiga hari di Butterworth, dekat sini, empat hari di Puchong dan tiga hari di Shah Alam.

“Suspek dipercayai bertindak mengurung mangsa di beberapa lokasi berlainan adalah untuk menyukarkan polis mengesan lokasi wanita tersebut. Semasa serbuan di rumah itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Indonesia yang turut diculik kumpulan berkenaan namun dia tiada kaitan dengan kes wanita itu,” katanya.

Beliau berkata wanita itu ketika diselamatkan berada dalam keadaan cedera di seluruh badannya dan mangsa dipercayai diikat, dicucuh dengan puntung rokok, dicucuk dengan jarum pada kukunya, dipukul, tangan dan kaki diikat pengikat kabel malah turut dirantai.

“Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan lemah dengan keadaan seluruh tubuhnya mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa diberi makan oleh suspek. Wanita itu yang merupakan peniaga dalam talian kini dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Khaw berkata hasil siasatan lanjut mendapati suspek utama adalah rakan perniagaan suami mangsa yang suami wanita itu dipercayai berhutang wang perniagaan dan gagal membayarnya, menyebabkan lelaki itu berang sebelum menculik wanita tersebut.

Katanya mereka berdua merupakan kontraktor dan menjalankan perniagaan bersama di Kuala Lumpur dan suspek yang menyedari wang perniagaan tidak dibayar bertindak menculik mangsa bagi mendapatkan duitnya semula.

“Pihak polis merampas beberapa barangan antaranya 23 telefon bimbit, 36 pengikat kabel, wang tunai RM4,800, rantai besi dan batang besi. Kami turut menyita empat kenderaan termasuk kereta yang digunakan untuk membawa lari mangsa,” katanya.

Beliau berkata hasil operasi itu polis menahan 14 individu termasuk dua warga asing yang kesemuanya berusia 23 hingga 70 tahun di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Perak dan Kuala Lumpur pada hari yang sama mangsa diselamatkan.

“Mereka yang ditahan adalah suspek utama berusia 35 tahun, sembilan lelaki warga tempatan, dua wanita warga tempatan dan dua lelaki warga asing, kesemua mereka mempunyai peranan masing-masing dalam kes culik tersebut,” katanya.

Menurutnya lima daripada yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan kesemua mereka direman tujuh hari sehingga 23 Sept ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan