SIBU, 22 Sept: Warga polis diingatkan agar melakukan siasatan dengan penuh integriti terhadap sebarang aduan yang diterima demi menjaga integriti kerja dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata siasatan secara menyeluruh amat penting bagi mengelak sebarang pandangan negatif daripada masyarakat terhadap pasukan polis.
“Pegawai penyiasat perlu sentiasa peka dan melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran undang-undang dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang digunapakai untuk mengatasi kelemahan dan kelalaian dalam menjalankan siasatan.
“Dalam konteks ini, kita tidak mahu membuka ruang kepada masyarakat mahupun mana-mana kumpulan tertentu di luar sana untuk melemparkan tomahan dan ketidakyakinan mereka terhadap perkhidmatan PDRM dalam menjalankan penugasan siasatan,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan di Padang Kawad Ibu-pejabat Polis Daerah Sibu di sini, pada Jumaat.
Tegasnya, tanggapan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberikan pada masa kini menjadi kayu pengukur kualiti perkhidmatan polis secara keseluruhannya.
“Dalam konteks perkhidmatan, kita sebagai anggota polis perlu memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti kepada mereka seiring dengan peredaran masa, jadi, saya menyeru semua warga IPD Sibu untuk memberi kerjasama dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat di daerah Sibu ini berada pada tahap cemerlang bersesuaian dengan tema pasukan iaitu ‘Polis dan Masyarakat tidak berpisah’ samada bertugas di lapangan ataupun di kaunter aduan,” ujarnya.
Di samping itu beliau juga mengingatkan agar warga polis untuk menjaga tutur kata dan bahasa dalam nada sopan kepada masyarakat.
Pada masa sama, beliau mahu anggota IPD Sibu melakukan transformasi dari segi pemikiran dan cara bekerja kepada budaya kerja kelas pertama berasaskan pemikiran yang lebih kompleks dan intelek.
Sementara itu, majlis menyaksikan  Zulikipli menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 Pegawai Rendah Polis (PRP) yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam perkhidmatan. -TVS