KUCHING, 22 Sept: Para petani di negeri ini disarankan mendaftar dalam sistem e-TANI sebagai inisiatif kerajaan menyediakan insentif bersasar sesuai dengan tanaman yang diusahakan mereka, kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Atom.
Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) juga mahu golongan berkenaan peka terhdap perkembangan teknologi terkni.
Berikutan Stephen mengakui industri pertanian merupakan elemen penting dalam menjamin bekalan makanan mencukupi selain membangunkan ekonomi negara.
Justeru itu, beliau mendedahkan pihaknya turut berusaha mengembangkan teknologi untuk kegunaan para petani dan peladang di negeri ini.
”Saya mahu Jabatan Pertanian berusaha untuk membangunkan teknologi baru dan mengubah tahap pemikiran.
“Cabaran dalam sektor pertanian ini adalah untuk keluar daripada zon selesa dan merealisasikan idea-idea menjadi untung dalam bentuk wang ringgit,” katanya.
Stephen berkata demikian pada Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Stadium Perpaduan di sini, pada Jumaat.
Selain itu, Stephen meminta para petani memperluaskan usaha menanam tanaman yang menghasilkan makanan bagi tujuan jaminan bekalan makanan.
Tambahnya, zon-zon tanah yang diperuntukkan untuk tanaman tertentu harus dikekalkan sedemikian untuk mengelak pembaziran tanah.
Setakat ini, sebanyak 45,000 petani telah menerima insentif Daripada Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak.
Tambah Stephen infrastruktur untuk sektor pertanian perlu ditambah baik untuk mengembangkan sektor tersebut kepada tahap yang lebih memberangsangkan. – TVS