BUKIT MERTAJAM, 22 Sept: Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual di Insititusi Pendidikan dalam menangani isu buli dan gangguan seksual secara proaktif.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu akan dilaksanakan di kesemua institusi KPM termasuklah sekolah, kolej matrikulasi, kolej tingkatan enam dan institut pendidikan guru (IPG).
Menurutnya tumpuan yang diterapkan dalam garis panduan itu membabitkan aspek Karamah Insaniah dalam tujuh teras utama KPM iaitu penekanan pembentukan adab, akhlak dan integriti.
“Tumpuan kepada pelancaran garis panduan ini adalah untuk memelihara maruah manusia dan penindasan terhadap maruah ini tidak boleh berlaku dalam ekosistem sekolah kita.
“Sebab itu saya sebutkan juga bahawa tiga ‘dosa besar’ di peringkat KPM iaitu buli, gangguan seksual dan perkauman tidak akan sama sekali kita kompromi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual di Insititusi Pendidikan yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pelaksanaan garis panduan itu akan diperincikan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan pihaknya ke institusi di bawah KPM.
“Semua akan dapat maklumat termasuklah senarai semak, carta alir dan aktiviti yang kita bekalkan dengan semua komponen untuk mengurus (salah laku).
“Kita ada program-program yang merentas agama, kaum dan kepelbagaian bagi memastikan advokasi hentikan buli ini berlaku di semua sekolah merentas agama, bangsa dan ras,” katanya lagi. – TVS