KUCHING, 22 Sept: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk mengukuhkan sistem kesihatan berteraskan digital menerusi Kertas Putih Kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata langkah ini juga selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2021-2025.
Menurutnya, KKM komited dalam mendigitalisasikan beberapa modul kesihatan awam seperti modul saringan kesihatan dan temu janji.
“Ini merupakan ‘game changers’ yang saya dan menteri lihat (potensi). Kita akan memperkenalkan ‘Digitalization of Our Health Care’ menerusi Kertas Putih KKM,” katanya menerusi program Dialog TVS yang disiarkan malam tadi.
Beliau berkata, doktor akan lebih mudah mencari rekod kesihatan pesakit dengan sistem pendigitalan ini.
Menurutnya, KKM kini dalam proses mendigitalisasikan keseluruhan proses manual yang terdapat di hospital dan klinik kesihatan kerajaan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat. – TVS