KUCHING, 22 Sept: Lawatan ke Jabatan Air dan Peraturan Alam Sekitar (DWER) di Perth, Australia hari ini disifatkan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi sebagai penting bagi menambah baik model bekalan air di Sarawak.
Beliau yang mengetuai delegasi kementeriannya, berkata objektif lawatan adalah untuk mengkaji peraturan sumber air dan bekalan air oleh DWER dan Water Corporation.
Lawatan ini juga adalah untuk mengkaji struktur industri termasuk rangka kerja perundangan dan kawal selia, tadbir urus dan model perniagaan dua organisasi itu.
“Memiliki banyak persamaan dengan kita (Sarawak), lawatan ini sangat penting kerana kita ingin menanda aras Kerajaan Australia dari segi sumber air dan industri bekalan air supaya boleh mereka bentuk model terbaik yang sesuai untuk Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media.
DWER bertanggungjawab mengurus dan melindungi sumber alam sekitar, menggalakkan amalan mampan, memastikan kualiti air dan melindungi alam sekitar di Australia Barat.
Water Corporation merupakan penyedia perkhidmatan air terbesar di Australia Barat.
Julaihi bersama delegasi dari Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi kini dalam rangka lawatan sambil belajar ke Australia Barat bermula 20 hingga 26 Sept ini.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS