KAPIT, 22 Sept: Jalan Tekalit-Musah, Song ditutup untuk laluan orang ramai selepas jambatan Sungai Musah rosak dipercayai akibat tanah mendap pada 9.30 malam tadi.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak juga telah memasang papan tanda amaran dan peranti keselamatan di kawasan jambatan 166 meter panjang dan 11.2 meter lebar.
Berikutan laluan tersebut merupakan jalan utama di kawasan tersebut, beliau telah memaklumkan kepada Pengarah JKR Sarawak dan akan turun ke kawasan terjejas untuk melihat sendiri keadaan tersebut.
“Berikutan laluan ini adalah jalan negeri, saya sudah berhubung dengan Pengarah JKR Sarawak bagi memastikan kelancaran tindak balas dan dimaklumkan langkah segera telah diambil sejak malam tadi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nanta berkata, sementara pemeriksaan dan siasatan lanjut dijalankan, beliau juga telah membawa perkara ini kepada perhatian Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan bagi mempercepatkan lagi tindakan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan menerusi laporan Bernama berkata:
“Jalan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan dan ditutup kepada semua pengguna jalan. Kerja-kerja pemasangan papan tanda amaran telah dilakukan.”
Lidam berkata mereka yang terkesan adalah penduduk, warga kerja sekolah-sekolah rendah dan klinik-klinik di hulu Sungai Katibas yang meletak kenderaan mereka di Banjor. – TVS