Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lukanisman Awang Sauni.

‘Kuarters bermaruah’ untuk kakitangan kesihatan di luar bandar

ByConnie Grace

KUCHING, 22 Sept: ‘Kuarters bermaruah’. Itu istilah digunakan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni bagi menggambarkan kediaman yang selesa untuk kakitangan kesihatan khasnya di kawasan pedalaman.

Menurutnya, kementeriannya komited dalam merealisasikan pembinaan ‘kuarters bermaruah’ sejajar dengan matlamat kerajaan menyediakan kemudahan selesa untuk didiami kepada penjawat awam.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, beliau berharap, peruntukan Belanjawan Madani 2024 kepada Kementerian Kesihatan dapat ditambah bukan sahaja untuk baik pulih klinik daif tetapi juga kediaman petugas kesihatan.

Jelasnya, kediaman selesa amat penting bagi memastikan kakitangan kesihatan dapat memberi perkhidmatan berkualiti.

‘Saya selalu sebut pasal kuarters bermaruah kepada doktor dan jururawat. Perkara ini satu aspirasi Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) apabila beliau menyatakan ada keperluan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Perpaduan membina satu kuarters penempatan bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Dialog TVS bertajuk ‘Menuju kesihatan kelas pertama’ yang disiarkan TVS di saluran 122 MYTV dan Astro, malam tadi.

Dalam pada itu, Lukanisman memberi jaminan kementeriannya berusaha menyelesaikan isu kekurangan pegawai kesihatan dan doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun. Jelasnya, 4,900 jawatan tetap telah dibuka.

“Saya dah berbincang dengan bahagian sumber manusia di Kementerian Kesihatan dan hasrat ini disokong oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pengambilan yang akan datang dan ini merupakan kejayaan di bawah pimpinan beliau.

“Kami di Kementerian Kesihatan akan memegang pengumuman Perdana Menteri kerana beliau ingin menyelesaikan masalah doktor kontrak yang berjumlah 12,800 dalam tempoh tiga tahun,” ujarnya.

Bagi memenuhi keperluan pakar perubatan di semua hospital dan klinik khususnya di kawasan luar bandar, Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak akan memperluas tajaan kepada graduan perubatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan Sarawak telah berusaha menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh lima tahun. Premier telah mengarahkan Yayasan Sarawak untuk menyediakan biasiswa dan setiap tahun ada pengambilan 40 hingga 50 pelajar terbaik yang akan belajar di Unimas dan mereka ini adalah secara automatik dilahirkan untuk bekerja di Sarawak.

“Ia secara tidak langsung membuka tawaran kepada para pelajar untuk terus berkhidmat kepada negeri kelahiran apabila tamat pengajian kelak,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan