BINTANGOR, 22 Sept: Seramai 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong menerima insentif pendidikan atas pencapaian cemerlang mereka dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dalam satu majlis khas di sekolah itu, semalam.
Menurut Kuong Hiing, pemberian insentif itu adalah antara inisiatifnya sebagai wakil rakyat dalan usaha memacu semangat dan motivasi kepada pelajar untuk terus berjaya pada masa depan.
“Pada kali ini, saya memperuntukkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM38,200 bagi tujuan itu.
“Saya juga berharap sumbangan yang dihulurkan dapat membantu dan meringankan sedikit beban mereka ketika meneruskan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.
Beliau berkata, pencapaian baik itu membuktikan kemampuan dan kesungguhan pelajar selain dedikasi tinggi seluruh warga pendidik di daerah berkenaan.
Malah katanya, prestasi tersebut wajar menjadi pencetus semangat kepada semua pihak termasuk ibu bapa untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan pihak sekolah.
Pemberian insentif pendidikan ADUN meradong itu, kini sudah memasuki tahun ke tujuh dan beliau memberi jaminan akan terus memberikan sokongan dalam usaha menjulang nama SMK meradong di persada dunia. – TVS