MIRI, 21 Sept: Tadika di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Tukau di Jalan Bakam di sini mengalami kemusnahan hampir 50 peratus akibat kebakaran hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba Ismaidi Ismail berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.18 pagi.
“Setiba di situ, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bangunan pra sekolah jenis satu tingkat telah terbakar hampir 50 peratus.
“Pasukan bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air dari jentera bomba,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, api berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit dan operasi tamat pada 8.25 pagi.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala kebakaran juga tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya. – TVS