BAU, 21 Sept: Setelah 23 tahun berpindah-randah menyewa rumah kini Zakaria Abdullah boleh menarik nafas lega apabila memiliki rumah sendiri.
Veteran tentera berusia 65 tahun itu sebelum ini menyewa di Jalan Matang bersama keluarganya.
Tidak menyalahkan sesiapa, bekas anggota Kor Armor Diraja (KAD) itu berkata dia amat bersyukur apabila terpilih untuk menerima rumah di bawah Program Inisiatif Perumahan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
“Saya berhenti askar pada 15 tahun lepas setelah memulakan perkhidmatan pada 1982, kami mendapat imbuhan daripada tentera RM52,000.
“Sebelum ini saya hanya menumpang rumah orang tua, lama juga menyewa, sewa sana sini dari tahun 2000, tidak mahu lagi menumpang rumah orang tua, saya tidak salahkan siapa-siapa,” katanya.
Abdullah berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan rumah oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Kampung Tanjung Bowang, Singai dekat Bau di sini, hari ini.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata ia merupakan kali pertama dia mendapat bantuan berbentuk kediaman.
“Pada tahun 2023 kita dapat peruntukan buat rumah daripada JHEV mengikut kuota itu yang saya dapat selepas itu saya terima cek dari SPNB,” katanya.
Pembinaan rumah Zakaria siap dalam masa dua bulan dengan keluasan 850 kaki persegi yang menelan belanja RM95,000. – TVS