KUCHING, 21 Sept: Kerajaan Sarawak melalui Majlis Islam Sarawak (MIS) komited untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam dalam kepelbagaian cabang ilmu.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini termasuklah dalam ekonomi baharu.
Ujar beliau, ini kerana kebijaksanaan, inovasi dan semangat kerja keras generasi muda akan menjadi daya penarik utama bagi merealisasikan hasrat Sarawak untuk muncul sebagai wilayah maju dan berpendapatan maju menjelang 2030.
“Saban hari kita mendengar ucapan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang pada hari ini Sarawak sedang mengorak langkah dalam pelbagai ekonomi baharu.
“Antaranya, termasuklah ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, karbon dan sebagainya yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan secara besar-besaran Sarawak pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Peperiksaan Awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Dewan Kompleks Islam Kuching di sini hari ini.
Sementara itu Abdul Rahman turut menyeru generasi muda hari ini supaya menguasai segala ilmu baharu yang disarankan oleh Abang Johari yang akan membuka peluang yang lebih luas.
“Maka peranan kita pada hari ialah untuk memastikan anak muda Sarawak, termasuk yang beragama Islam dilengkapi dengan ilmu yang secukupnya,” katanya.
Majlis turut dihadiri Yang Di Pertua MIS, Datuk Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim.
Seramai 52 orang pelajar daripada sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Ahmad Zaidi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud, SMK(A) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan SMK(A) Matang 2 menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yang diberikan MIS.-TVS