KUCHING, 21 Sept: Sarawak berada pada landasan tepat dalam memperkasakan aktiviti pengawasan pengurangan permintaan dadah dan substan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak mempunyai kadar tinggi dalam kalangan penyalah guna dadah dan substan berulang yang ingin mendapatkan bantuan untuk bebas sepenuhnya dari pengaruh dadah.
“Dengan pencapaian ini kita akan terus mengharungi cabaran yang mendatang. Ia penting bagi kita untuk menangani punca utama sama ada trauma, jurang ekonomi, kesihatan mental atau tekanan sosial,” ujarnya berucap pada Majlis Malam Gala Anugerah Phoenix di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, pendekatan seimbang perlu diambil dalam usaha meningkatkan aktiviti pengawasan bagi mengurangkan permintaan dadah dan substan yang kini menunjukkan pemulihan ketara.
“Untuk memastikan rawatan dan penjagaan pemulihan dalam komuniti berada dalam keadaan teguh
organisasi, kerajaan dan dermawan di seluruh dunia harus melabur untuk menyediakan kemudahan, sumber dan kecekapan yang sesuai dalam mengadakan program aktiviti pengawasan pengurangan permintaan dadah dan substan,” ujarnya. – TVS